PENGURUSAN & PENTADBIRAN PIBG


PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PIBG

            Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK Padang Midin Sesi 2011 / 2012 diurus dan ditadbir oleh Jawatankuasa PIBG yang terdiri daripada 17 orang ahli dan diketuai oleh Yang Dipertua PIBG, En. Jusoh Bin Ismail. Jawatankuasa ini telah dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Pengetua SMK Padang Midin, Pn. Hjh. Zah Binti Mohamad bertindak sebagai Ex-Officio. Pengurusan persatuan dikendalikan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan berdasarkan perlembagaan Kaedah-Kaedah Persatuan Ibu bapa – Guru-Guru 1998 (Peraturan-Peraturan Pendidikan Persatuan Ibu bapa-Guru 1998) yang mula dikuatkuasa pada 26 Mac 1998.

            Spesifikasi-spesifikasi yang telah ditetapkan ini mematuhi ketetapan perlembagaan seperti berikut:
1.      Mengemukakan notis mesyuarat mengikut tempoh yang ditetapkan
2.      Mengadakan Mesyuarat Agung PIBG menepati masa yang ditetapkan
3.      Menguruskan minit dan laporan Mesyuarat Agung PIBG
4.      Mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa
5.      Mewujudkan Fail Pengurusan PIBG yang berfungsi

Bagi memantapkan pengurusan dan pentadbiran PIBG SMK Padang Midin, Jawatankuasa PIBG Sesi 2011 / 2012 telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa sebanyak 4 kali. Hasil kesepakatan mesyuarat membolehkan Jawatankuasa PIBG merancang serta mengelola pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada para pelajar, guru-guru, ibu bapa serta komuniti setempat sepanjang tahun 2011 – 2012.

Sebagai sebuah persatuan yang didaftarkan untuk membantu dan menyokong sekolah, PIBG SMK Padang Midin telah memberikan komitmen dan sokongan padu kepada pihak pengurusan sekolah dalam melaksanakan program yang dirancang demi melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti dan terbilang.

PIBG berusaha mendapatkan dana bagi membolehkan sekolah melaksanakan aktiviti-aktiviti kurikulum, kokurikulum dan pembinaan sahsiah murid-murid. PIBG menjadi perantara dalam membentuk jaringan yang mantap antara sekolah, komuniti setempat dan agensi yang berkaitan bagi memaju dan membangunkan organisasi SMK Padang Midin. Tidak lupa sumbangan idea dan tenaga dicurahkan dalam usaha memantapkan perjalanan sekolah sebagai ejen perubahan sosial dan nasional.
 
PIBG bertanggungjawab menyampaikan dan memanjangkan maklumat berkaitan program dan dasar sekolah kepada komuniti setempat. Sokongan padu dan komitmen PIBG terhadap sekolah telah melayakkan PIBG SMK Padang Midin menerima Anugerah Pengurusan PIBG Terbaik 2010 yang telah diiktiraf di Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu pada 16 Mei 2011 di Dungun. Penganugerahan ini memberikan suntikan semangat baru kepada PIBG SMK Padang Midin untuk terus menyokong dan membantu pihak sekolah dalam menjayakan program yang telah dirancang.

PIBG yang mewakili ibu bapa dan guru akan tetap berganding bahu dengan pihak sekolah bagi merealisasikan visi sekolah.